JOHOR BAHRU, 8 Ogos – Meskipun banyak kali peringatan diberi namun rakyat di negara ini masih tertipu sama ada oleh scammer atau pun sindiket dan terbaharu seorang wanita di Kuantan mendakwa kerugian RM118,767.49 selepas dia terpedaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan yang menjerat mangsa dengan menawarkan gaji yang tinggi secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 22 tahun itu mendakwa dia ditawarkan pekerjaan oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 23 Julai lepas.
Suspek dikatakan telah menawarkan mangsa untuk menyelesaikan satu tugasan dengan bayaran selain turut memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mangsa berjaya melakukan kerja itu.
“Mangsa yang menghubungi suspek kemudiannya ditawarkan pula tugasan melakukan tangkap layar barangan di pautan diberikan dengan dijanjikan keuntungan bagi setiap tangkap layar dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di Kuantan tertarik dengan “kerja” itu kerana telah menerima upah RM47 selepas menyelesaikan dua tugasan menyebabkan dia terus menghubungi suspek untuk mendapatkan tugasan selanjutnya. – nasionalkini.my