Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 22 Jun – Tindakan kejam seorang bekas tentera menembak mati seekor kucing jirannya menggunakan senapang angin, tahun lalu terbalas apabila didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Aziz Tambi, 63, membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan pindaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh telah melakukan penganiayaan terhadap haiwan iaitu menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik Amran Majid, 45, dengan cara menembak dengan senapang angin.
Kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) itu dilakukan di sebuah rumah bernombor, Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 2.30 petang 18 Jun 2022.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda sekurang-kurangnya RM20,000 sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah lama bersabar dengan jirannya itu.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar jumlah denda dikenakan.
Media pada 21 Jun tahun lalu melaporkan dua beranak ditahan polis selepas dipercayai membunuh seekor kucing menggunakan selaras senapang angin di sebuah rumah di Bukit Rambai pada pukul 2.30 petang.
Susulan itu, polis menahan suspek yang berusia 62 tahun dan anaknya, 27 tahun ditahan selepas kucing milik jiran mereka disahkan mati ketika dibawa ke klinik haiwan.
Siasatan awal polis mendapati tindakan dilakukan susulan suspek tidak berpuas hati dengan kucing betina berkenaan masuk ke rumah mereka. – nasionalkini.my.