KUALA LUMPUR, 8 Jun – Seorang wanita warga emas melahirkan keterujaan apabila pasangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan mengejut ke kediamannya, hari ini.
Kamala Das, yang dilahirkan pada 5 Jun 1923 menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun baru-baru ini tidak menyangka pasangan diraja itu sudi berkunjung ke kediaman yang terletak di Taman Utama Ampang.
Di dalam kunjungan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa di rumah Kamala selama satu jam bermula pada 11.30 pagi, hari ini.
Selain daripada bertanya khabar dan beramah mesra dengan Kamala serta keluarganya, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah dan ucap selamat secara peribadi kepada Kamala yang menyambut ulang tahun kelahiran pada ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu.
Lebih mengujakan, Kamala juga menerima sumbangan kurniaan peribadi dan cenderakenangan sempena ulang tahun kelahiran, baru-baru ini.
Kamala dilahirkan di Tapah, Perak juga merupakan ibu kepada bekas wartawan sukan, Datuk George Das.
Dia memiliki 11 orang anak dan kini dikurniakan 21 cucu dan 21 cicit, manakala suaminya, GA Das sudah meninggal dunia pada 1972. – nasionalkini.my