BERA, 7 Julai – Seramai 15 petugas dari Hospital Tengku Jaafar, Seremban meluangkan masa hampir tiga jam di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang, dekat Triang, semalam.
Rombongan itu diketuai Pegawai Kerja Sosial Perubatan hospital itu, Norizawati Zainol.
Hadir mengiringi rombongan adalah Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Bera, Azhar Ahmad.
Rombongan itu diberi taklimat mengenai operasi Sang Riang oleh Pengerusinya, Yap Yoke Moey.
Norizawati memberitahu, tujuan kunjungan itu adalah untuk melihat sendiri cara pengurusan warga emas oleh Sang Riang yang sebelum ini sangat dikagumi ramai.
Kunjungan berkenaan sangat dihargai Yoke Moey dan berharap ia dapat memberi maklumat lebih tepat mengenai operasi harian di Sang Riang.
Selain menempatkan penghuni warga emas, Sang Riang juga menyediakan perkhidmatan jagaan orang kurang upaya (OKU), termasuk OKU mental secara percuma.
Ketika ini seramai 480 penghuni ditempatkan di Sang Riang dan mereka mendapat perkhidmatan jagaan secara profesional oleh petugas di situ.
Pihak pengurusan Sang Riang juga akan menguruskan kematian penghuni rumah kebajikan itu secara percuma, mengikut agama dan kepercayaan masing-masing. – nasionalkini.my