in

Pemeriksaan gigi percuma untuk penghuni Sang Riang

Gambar oleh Sang Riang

KUANTAN, 29 Februari – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melalui Klinik Pergigian Daerah Bera meneruskan program khidmat sosial bagi penghuni rumah warga emas di Triang, dekat bandar Bera.

Program tahunan itu memberi peluang kepada kira-kira 400 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menjalani pemeriksaan pergigian secara percuma.

Seramai tujuh pegawai dan kakitangan dari Klinik Pergigian Daerah Bera terbabit dalam program berkenaan.

Pengerusi rumah kebajikan berkenaan, Yap Yoke Moey berkata, selain pemeriksaan gigi, penghuni turut diberi penerangan dan khidmat nasihat berkaitan penjagaan kesihatan.

“Sudah pasti kunjungan daripada pegawai dan kakitangan Klinik Pergigian Daerah Bera ini memudahkan warga emas melakukan pemeriksaan kesihatan mereka.

“Dengan faktor usia kebanyakan penghuni di sini, kami sangat menghargai usaha dilakukan pihak yang begitu prihatin dengan warga emas di Sang Riang,” katanya kepada Malaysiapost.

Selain kunjungan dari Klinik Pergigian Daerah Bera, penghuni rumah kebajikan itu turut menerima perkhidmatan pemeriksaan kesihatan psikiatri oleh pegawai perubatan dari Hospital Bera dan Temerloh sebelum ini.

“Sesi terapi turut diberikan kepada penghuni di rumah kebajikan ini yang berdepan masalah mental.

“Semua perkhidmatan diberikan adalah percuma dan saya hanya mampu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat.

“Saya dan penghuni di rumah warga emas Sang Riang amat menghargai pengorbanan masa oleh petugas kesihatan yang sudi mengunjungi kami dan memberikan perkhidmatan terbaik bagi penghuni rumah kebajikan ini,” katanya.– nasionalkini.my

Proses ubah suai Kenari hampir siap

BERSATU sedia hadapi enam PRK