KUANTAN, 8 Jun – Tiga pegawai dan anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang hari ini bagi membantu siasatan kes pegawai kanan polis menerima rasuah lebih RM1 juta.
Menurut sumber SPRM, dua pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan seorang anggota polis berpangkat koperal itu ditahan bersama seorang lelaki tempatan yang merupakan orang awam ketika dipanggil untuk dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang, petang tadi.
“Mereka dipanggil bagi membantu siasatan kes seorang ketua polis daerah berusia 53 tahun yang disyaki menerima rasuah secara bulanan antara tahun 2017 hingga 2022.
“Suapan itu membabitkan jumlah antara RM20,000 hingga RM50,000 sebulan dan suspek utama dipercayai menerima lebih RM1 juta sepanjang tempoh itu,” katanya.
Difahamkan, rasuah itu adalah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut disekitar daerah kawalannya.
“Bayaran rasuah ini disyaki bagi melindungi pusat hiburan dan pusat urut daripada sebarang penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan terbabit,” katanya lagi.
Sumber itu turut memaklumkan SPRM Pahang juga menahan dua lagi anggota penguat kuasa imigresen berusia 41 dan 49 tahun petang tadi.
“Kedua anggota imigresen yang ditahan itu disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik pusat urut di sekitar negeri ini bagi mempercepatkan proses pembaharuan permit kerja pekerja warga asing,” katanya.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Bin Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -nasionalkini.my