in

Inap desa ‘luar biasa’ di Indera Mahkota 2

IMG 20230607 WA0020
Ruang tamu yang selesa dilengkapi penghawa dingin tersedia untuk pengunjung inap desa Indera Mahkota 2 yang merancang meluangkan cuti hujung minggu atau cuti umum di bandar raya Kuantan

BANDAR Indera Mahkota yang terletak 4.8 kilometer dari bandar raya Kuantan adalah antara kawasan paling padat membangun.

Dahulunya, nama Indera Mahkota itu sendiri tidak wujud dan dikenali dengan Atabara sahaja.

Di kawasan Indera Mahkota ini jugalah ada dua institusi pengajian tinggi awam, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Komuniti Kuantan.

Bersebelahan Kolej Komuniti Kuantan pula ada sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Kolej Universiti Widad yang dahulunya menggunakan nama Kolej Shahputra.

Nama itu bertukar selepas pertukaran hak milik kolej berkenaan.

Tapi itu bukanlah benda utama yang kita nak ceritakan kali ini.

Apa yang ingin kami kongsikan ialah kewujudan sebuah inap desa atau homestay ‘luar biasa’ di Indera Mahkota 2 yang jaraknya kurang lima kilometer dari semua tempat disebutkan tadi.

Inap desa yang tidak mempunyai nama itu dimiliki dan diusahakan seorang anak muda yang juga ‘luar biasa’.

Muhamad Iqbal Syafiq Ab Ghaffar yang kini berusia 33 tahun, sudah memiliki inap desa itu sejak 10 tahun lalu.

Paling istimewa, Muhamad Iqbal Syafiq adalah orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.

Namun, ia tidak pernah menjadi penghalang untuk dia berjaya dengan caranya sendiri.

IMG 20230607 143420
Muhamad Iqbal Syafiq Ab Ghaffar

Ketika ditemui nasionalkini.my baru-baru ini, Muhamad Iqbal Syafiq yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Koperasi OKU Pahang Berhad (KOKU) berkata, idea untuk mengubah kediaman itu kepada inap desa hasil nasihat ibunya.

“Ada orang tanya kenapa tak bagi sewa sahaja rumah ini, saya jawab ‘mak suruh buat homestay’ kerana ia lebih mudah untuk dijaga.

“Lagipun sayang kalau dijadikan rumah sewa, kita tak boleh mengubah suai rumah ini mengikut selera kita,” katanya.

Sesi temubual kami berlangsung dengan lancar walaupun kami hanya berhubung melalui teks di paparan telefon bimbit sahaja.

Kami taip soalan di telefon bimbit dan dia menjawabnya, juga melalui teks di telefon bimbit.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga aktif dengan aktiviti luar.

Dia pernah menyertai larian Menara Kuala Lumpur sebelum ini dan juga sukan ekstrem lain.

IMG 20230607 WA0022
Gazebo turut disediakan bagi penginap ‘homestay’ meluangkan masa bersantai bersama keluarga di waktu petang atau malam

Muhamad Iqbal Syafiq juga pandai membuat ‘pastries’ dan semua hasil air tangannya itu dijual di restoran dan kedai di sekitar Taman Impian, Jalan Sungai Lembing.

Dia dan ibunya menetap di situ, di Taman Impian, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari inap desa miliknya.

Ditanya samaada dia ada perancangan untuk membuka kedai ‘pastries’ pada masa akan datang, Muhamad Iqbal Syafiq hanya menggelengkan kepala sambil ketawa.

“Belum ada perancangan ke arah itu, buat homestay sahaja buat masa ini,” katanya.

Inap desa miliknya memang sesuai untuk keluarga yang ingin berehat dan harga ditawarkan juga sangat berpatutan – RM200 untuk satu malam.

Terdapat tiga bilik dilengkapi penghawa dingin, ruang tamu yang luas dan dapur yang serba lengkap.

IMG 20230607 WA0021
Ruang dapur yang serba lengkap bagi memudahkan penginap homestay memasak dan menyediakan makanan untuk minum petang dan lewat malam

Bagi yang ingin bercuti tapi tetap mahu berhubung dengan dunia luar, kemudahan wifi juga disediakan supaya penghuni inap desa itu sentiasa boleh melayari internet.

Kedudukan inap desa itu juga strategik, dalam lingkungan antara satu hingga tiga kilometer, terdapat pelbagai jenis restoran dan kedai makan.

Untuk ke bandar raya Kuantan pula, tempoh perjalanan hanya antara lima hingga 10 minit sahaja.

Jadi, kalau anda merancang untuk singgah di Kuantan hujung minggu ini, atau ketika musim cuti umum atau cuti persekolahan, bolehlah berhubung dengan Muhamad Iqbal Syafiq untuk menempah inap desa miliknya.

Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp dengan menghubungi nombor 014-2446890. – nasionalkini.my

kamala 1

Warga emas 100 tahun teruja terima kunjungan Agong dan Raja Permaisuri

WhatsApp Image 2023 06 08 at 9.25.56 PM

Iman Troye nak bagi RM300 kepada pelajar cemerlang SPM 2022