KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengundi yang akan pulang ke kampung khususnya menggunakan bas untuk menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, dinasihat menempah tiket awal untuk mengelak kehabisan.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata permintaan terhadap tiket bas dijangka meningkat hujung minggu ini, terutama bagi perjalanan ke beberapa negeri Pantai Timur dan Utara yang terbabit dengan PRN.
“Jika ada yang mahu membeli tiket pada saat akhir, kami tak boleh janji sama ada mereka mampu dapatkan atau tidak. Sekarang sudah ada permintaan, tetapi tiada tekanan kepada pengusaha.
“Mungkin pengundi belum membeli tiket kerana masih awal memandangkan PRN berlangsung 12 Ogos ini.
“Namun saya menasihati pengundi untuk membuat tempahan awal supaya dapat mengelakkan kesukaran di kemudian hari,” katanya ketika dihubungi BH.

Mohamad Ashfar berkata, tempahan awal penting supaya pihaknya dapat membuat analisis sebelum mempertimbangkan untuk menyediakan bas tambahan sekiranya perlu kepada penumpang.
“Dengan tempahan tiket awal, kami boleh dapat anggaran berapa permintaan daripada penumpang pada kali ini.
“Jika ada tambahan, kami boleh dapatkan Lesen Perjalanan Sementara (LPS) dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tambah bas.
“Ini kerana, ada kos perlu dikeluarkan sekiranya mahu menyediakan bas tambahan,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad Ashfar menjelaskan, selain melalui kaunter urusan pembelian tiket bas juga boleh dilakukan melalui laman web, selain dibeli daripada penjual semula di mana-mana laman web.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak dapat membuat sebarang jangkaan mengenai kesesakan yang akan dihadapi di stesen bas nanti berikutan sebelum ini tidak pernah berlangsung PRN membabitkan enam negeri serentak.
“Ini fenomena baharu, jadi sukar untuk membuat jangkaan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak 12 Ogos ini membabitkan keseluruhan 9,773,571 pemilih bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.- nasionalkini.my