PERMATANG PAUH, 12 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi di enam negeri menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.
Perdana Menteri juga menasihatkan pengundi keluar awal bagi melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati suasana pengundian di keenam-enam negeri berada dalam keadaan baik dan tenang.
“Saya minta pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Musim kempen sudah selesai, jadi kembali bersilaturrahim. Mengundi dengan aman, harap keluar awal dan jangan tangguh tanggungjawab untuk mengundi lebih awal,” katanya kepada BH.

Anwar hadir di pusat pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, di sini hari ini, berkemeja biru dan turut diiringi isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri dan isteri tiba di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti jam 9.33 pagi dan dilihat selesai mengundi jam 9.40 pagi.
DUN Penanti menyaksikan persaingan dua penjuru di antara penyandangnya, Muhammad Faiz Fadzil daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) menentang Amir Hamzah Abdul Hashim yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulangi penegasannya berhubung keputusan pada PRN kali ini tidak akan membawa sebarang perubahan kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya akan menentukan kepemimpinan kerajaan negeri yang baharu.
“Ini PRN, tugas Kerajaan Persekutuan akan berjalan seperti biasa, kita akan meneruskan kerja mulai esok,” katanya.- nasionalkini.my