MUAR, 2 Ogos – Sekurang-kurangnya empat jenazah terpaksa dipindahkan susulan hakisan tebing parit bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru di Bukit Naning, di sini, yang berlaku sejak lebih sebulan lalu.
Selain kubur sudah sedia runtuh dan terdedah susulan hakisan disebabkan hujan lebat serta kerja pembersihan parit itu, beberapa lagi dijangka menerima nasib sama sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menghalang risiko runtuhan.
Seorang waris, Mohd Amin Samian, 43, mengesahkan jenazah arwah ibunya, Sariah@Seringati Omar, yang dikebumikan 15 tahun lalu di tanah perkuburan itu perlu digali semula untuk dipindahkan susulan hakisan.
Katanya, dia dan ahli keluarga bersetuju ia dipindahkan memandangkan keadaan kubur arwah ketika ini semakin senget.
“Kami difahamkan ada empat kubur terjejas termasuk arwah emak empat, dengan tiga daripadanya sudah terkeluar.
“Kawasan perkuburan terdiri tanah gambut manakala di bawahnya tanah liat. Jadi percampuran kedua-dua tanah tidak berlaku menyebabkan berlaku hakisan.
“Sebelum ini, berlaku juga hakisan dekat kawasan itu tapi tidak melibatkan tanah perkuburan ini. Kalau tidak bina tembok saya rasa banyak lagi kubur akan terjejas,” katanya kepada BH.
Ketua Kampung Parit Baru, Rosli Abu berkata, ketika ini hanya empat waris ditemui dan rata-rata mereka sudah menyatakan persetujuan untuk memindahkan jenazah ahli keluarga masing-masing yang terkesan dengan runtuhan itu.
Katanya, beberapa waris lagi gagal dikesan dan ia membantutkan usaha pemindahan jenazah kerana ia perlu mendapat persetujuan mereka.
“Perbincangan sudah diadakan sebelum ini membabitkan penghulu, ketua kampung, wakil rakyat serta waris. Kita juga ada membuat perbincangan mengenai kos pemindahan.
“Urusan mengalihkan jenazah yang terkesan dalam runtuhan ini akan diuruskan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ).
“Ada satu jenazah tinggal kapas sahaja, jadi perkara ini akan diuruskan MAINJ. Urusan ini memerlukan permohonan daripada Majlis Fatwa Negeri dan juga Pejabat Kadi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin berkata, usaha memindahkan perlu dilakukan kerana akan bertambah serius jika musim hujan.
Katanya, aliran di parit itu deras boleh menjejaskan struktur kubur berhampiran dan dibimbangi akan menjadi bertambah buruk.- nasionalkini.my