KUALA LUMPUR, 26 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka fail siasatan berhubung dakwaan wujudnya perbuatan rasuah melibatkan projek Petronas bernilai RM399 juta serta sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa.
Dalam siasatan tersebut, SPRM menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja dipercayai berkaitan pemberian tender projek berkenaan.
Justeru, SPRM mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan.
“Ini berhubung dakwaan terdapat perbuatan rasuah membabitkan projek Petronas serta sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa yang disiarkan di sebuah portal baru-baru ini, “katanya dalam kenyataan, hari ini.
SPRM juga mengesahkan Petronas juga memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berkenaan.
Justeru, SPRM menyeru pihak yang mempunyai maklumat baharu berhubung isu terbabit supaya tampil untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Siasatan terbaru ini adalah kali kedua dalam tempoh dua tahun, selepas agensi penguatkuasaan berkenaan ‘menyerbu’ Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) pada November tahun lalu serta menahan sembilan individu termasuk seorang eksekutif muda.
Pendedahan mengenai pemberian projek RM399 juta di Sarawak itu dilaporkan oleh sebuah portal, ‘The Corporate Secret’ sejak awal bulan ini yang mendakwa ia membabitkan pegawai tertinggi syarikat berkenaan. – nasionalkini.my