KUALA TERENGGANU, 14 September – Seramai 164 siswazah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui program PETRONAS BeDigital Bootcamp yang diperkenalkan tahun lalu.
Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Datuk Bacho Pilong, berkata sejumlah 365 peserta telah menyertai lima edisi program itu yang bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam dunia pekerjaan.
Beliau berkata, bermula dengan hanya 18 peserta pada program pertama, bilangan itu ditingkatkan pada edisi seterusnya berikutan sambutan yang amat menggalakkan.
“PETRONAS BeDigital Bootcamp ialah satu usaha berterusan pihak kami untuk memastikan graduan tempatan dapat memenuhi tuntutan era digital yang kompetitif di luar sana.
“Peserta akan didedahkan dengan kemahiran digital dan keusahawanan yang sesuai untuk memastikan mereka kekal bersaing sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup PETRONAS BeDigital Bootcamp 2023 edisi Pantai Timur di sini, lapor Bernama.
Bacho berkata, seramai 41 daripada 96 peserta PETRONAS BeDigital Bootcamp Edisi Pantai Timur telah ditawarkan pekerjaan oleh PETRONAS Digital dan beberapa syarikat rakan strategik termasuk Ernst & Young (EY), Schlumberger Wta (M) Sdn Bhd, Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC).
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, universiti dan pemain industri lain bagi mencungkil bakat siswazah yang dinamik untuk dibawa ke sektor pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta program yang juga lulusan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ahmad Akif Muhammad Izuan, 23, berkata PETRONAS BeDigital Bootcamp bukan sahaja membantu melengkapkan siswazah dengan ilmu baharu, malah turut meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi.
Beliau berkata, lebih penting, program itu adalah antara platform terbaik mereka mendapatkan peluang pekerjaan dengan pelbagai syarikat tempatan dan multinasional.
“Alhamdulillah, saya ditawarkan kerja sebagai Eksekutif Aset, Perancangan dan Logistik di PETRONAS Digital dengan gaji permulaan yang lumayan.
“Saya harap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi lebih peluang kepada siswazah yang tercari-cari peluang pekerjaan,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.- nasionalkini.my