LANGKAWI 26 Mei – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Perhutanan Sabah bagi memperkasa kerjasama penggunaan teknologi angkasa dan ‘remote sensing’ dalam pengurusan sumber hutan secara lestari khususnya kawasan Hutan Simpan Negeri Sabah.
Kerjasama MYSA dengan Jabatan Perhutanan Sabah itu merupakan kali ke-3 sejak kerjasama di antara kedua pihak dimeterai pada tahun 2013 dan 2017.
Kerjasama strategik ini juga selari dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang direncanakan di bawah Program Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Mei lalu di LIMA’23.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan Malaysia, manakala kerajaan UK diwakili Setiausaha Tetap bagi Pendidikan UK, Susan Acland-Hood.
Turut hadir, Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah dan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan menandatangani MoU itu.
Sementara itu, Azlikami berkata, skop kerjasama itu merangkumi pemantauan dan pemetaan kawasan berhutan di seluruh Negeri Sabah berteraskan teknologi angkasa.
Jelas beliau, ia merupakan satu pendekatan baharu dalam pengurusan sumber hutan dan pendigitalan maklumat perhutanan.
“Melalui kerjasama itu beberapa pakej sistem aplikasi telah dibangunkan khusus untuk membantu pihak Jabatan Perhutanan Sabah dalam pengurusan sumber hutan iaitu Sistem iForSABAH.
“Manakala bagi pengurusan dan pemantauan litupan hutan ialah Sistem e-PESISIR yang memfokuskan pemantauan kawasan pesisiran pantai negara,” ujarnya.
Tegasnya, penggunaan teknologi angkasa memberikan impak yang sangat signifikan dalam pengurusan sumber hutan khususnya bagi membantu pihak Jabatan Perhutanan Sabah dalam membuat pemetaan dan pengemaskinian litupan hutan secara tepat dan berkala setiap dua tahun sejak 2010.
“Pengoperasian sepenuhnya sistem aplikasi yang telah dibangunkan juga telah mengurangkan kos operasi di lapangan sehingga 40 peratus dan menjimatkan masa pelaksanaan kerja,” katanya. – nasionalkini.my