KUALA LUMPUR, 7 Julai – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan penubuhan sebuah unit pengisytiharan harta yang bebas dan tidak terletak di bawah jabatan Perdana Menteri (JPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, unit tersebut haruslah mempunyai kuasa dan sumber yang mencukupi bagi menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap aset yang diisytiharkan oleh anggota kabinet tersebut.
“MCW berharap agar kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap isu ini dan bertindak dengan segera untuk memperbaiki serta melaksanakannya segera demi mengekang rasuah dan menjaga integriti, kita mesti mencipta perubahan untuk memulihkan imej negara yang kian terjejas akibat rasuah
MCW sekali lagi ingin menegaskan pelaksanaan pengisytiharan harta yang telus dan berkualiti amat penting dalam usaha memerangi rasuah dan dapat mengangkat martabat integriti pentadbiran kerajaan perpaduan ini,” katanya.
Semalam, kerajaan bersetuju untuk menguatkuasakan semula pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Jais berkata, langkah positif bagi membuktikan ketelusan pemimpin negara kepada rakyat.
“MCW menggesa kerajaan Malaysia untuk memperkukuhkan sistem pengisytiharan harta tersebut dengan memastikan penambahbaikan yang lebih terperinci.
Dengan memperkukuhkan sistem ini, kerajaan Malaysia dapat membina kepercayaan awam dan memastikan pelaksanaan tadbir urus yang baik pada semua peringkat pentadbiran,” katanya.
Dalam pada itu beliau mencadnagkan pengisytiharan harta tersebut harus dikemaskini secara tahunan oleh menteri dan pegawai-pegawai kabinet. – nasionalkini.my