KUALA LUMPUR, 25 Jun – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala dua jurulatih mengalami cedera parah selepas bom lempar meletup ketika menjalani sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan mengesahkan insiden tersebut berlaku kira-kira 12.10 tengah hari ini ketika anggotanya menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) di kem berkenaan.
“Anggota terbabit dilaporkan meninggal di lokasi kejadian manakala jurulatih yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas sebelum dirujuk ke Hospital Segamat berikutan kecederaan yang dialami serius.
“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota TUDM yang terlibat dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut ,” tambah kenyataan itu.
Sejurus selepas kejadian, TUDM menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti
punca kejadian.
Sehubungan itu, TUDM menggesa supaya orang ramai tidak menyebarkan spekulasi sebagai menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.
Bagaimanapun TUDM memberi jaminan akan berkongsi perkembangan insiden dari semasa ke semasa. – nasionalkini.my