in ,

Super Pippo ‘Raja Ofsaid’ bola sepak dunia

WhatsApp Image 2023 07 07 at 8.42.45 PM
Bekas Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson dalam satu temu bual pernah berseloroh, Inzaghi memang dilahirkan untuk ofsaid.

Oleh Iskandar Zulkarnain

BARU-baru ini Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dilaporkan, bersedia menilai peraturan ofsaid mengikut cadangan diberikan oleh bekas Pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Melalui cadangan itu, seseorang hanya akan berada di dalam kedudukan ofsaid sekiranya seluruh badannya melebihi pemain pertahanan terakhir.

FIFA dilihat serius dan bersetuju untuk menguji peraturan tersebut dalam beberapa perlawanan. 

Usaha badan dunia itu mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan peminat dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga membantah.

WhatsApp Image 2023 07 07 at 8.42.24 PM
Filippo Inzaghi menjaringkan 288 gol sepanjang 21 tahun karier bola sepak

Ada merasakan ia akan menjadikan sukan ini lebih menarik, pada masa sama ramai melihat FIFA cuba membunuh bola sepak.

Namun begitu, apa yang menarik perhatian adalah wujud sebilangan peminat bercakap perihal pemain yang cukup sinonim dengan ofsaid suatu ketika dahulu iaitu Filippo Inzaghi.

Inzaghi unik, karektornya tersendiri, ia berkisar garisan bahu ofsaid atau kata orang kampung ‘curi ayam’.

Malah, bekas Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson dalam satu temu bual pernah berseloroh, Inzaghi atau lebih dikenali sebagai Super Pippo memang dilahirkan untuk ofsaid.

Pippo tidak pernah malu dengan gelaran ‘Raja Ofsaid’ bahkan beberapa kali mempertahankan gaya tersebut.

Kemahiran bola sepaknya minimum, jika ada ujian larian pasti beliau yang terakhir tiba. Begitu juga dalam pertarungan fizikal, Pippo akan pulang awal.

“Tengok, dia sebenarnya tidak boleh bermain bola sepak tetapi dia sentiasa berada di tempat yang betul,” kata mendiang Johan Cruyff.

“Dia tidak boleh mengelecek, tidak boleh merembat dari luar kotak penalti,” kata bekas pemain AS Roma, Vincenzo Montella. 

Namun, jangan tertipu dengan perwatakan tersebut kerana dalam sekelip mata beliau mampu mengubah keputusan akhir perlawanan.

Malah, sepanjang karier 21 tahun, Pippo menjaringkan 288 gol dengan 48 daripadanya di kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Sebaris penjaring gol prolifik lain antaranya Cristiano Ronaldo, Leo Messi dan Raul Gonzalez.

Hakikatnya, semua itu tidak datang menggolek. Rino Gattuso pernah mendedahkan, Pippo banyak menghabiskan masa menonton video perlawanan pihak lawan.

Gattuso yang juga rakan sepasukan di AC Milan dan Itali mendedahkan, adakala proses menonton habis sampai ke awal pagi, sebelum disambung pada sesi latihan di lapangan.

Pada sesi latihan, Pippo akan meminta rakan-rakan untuk melaksanakan hasil ulang kaji beliau dan sekiranya gagal dipenuhi pemain itu akan merajuk.

Super Pippo hanya menjalankan perkara paling asas dalam sukan bola sepak iaitu menjaringkan gol dan memenangkan pasukan. – nasionalkini.my

penang lgbt

MAINPP siasat kes rai majlis perkahwinan sejenis

JAIS ABDUL KARIM

Wujud unit pengisytiharan harta bebas: MCW