in

Rasuah JPN boleh rosakkan kepercayaan orang awam

JAIS ABDUL KARIM
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Kes rasuah dan salah guna kuasa  yang didakwa berlaku dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bukan sahaja perkara serius tetapi  dianggap berbahaya kerana boleh menjejaskan integriti sistem pendaftaran negara.

Malah, ia boleh membahayakan keselamatan negara serta merosakkan kepercayaan orang awam terhadap kerajaan dan institusi-institusi awam.

Justeru, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menyarankan beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan berkenaan.

Antaranya penggunaan teknologi dalam proses pendaftaran negara yang dilihat boleh membantu mengurangkan kebergantungan pada interaksi manusia dan mengurangkan peluang untuk penyelewengan.

Sistem pengurusan data yang cekap dan terkini perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan peluang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“MCW sarankan reset warganegara dibuat dengan memperkenalkan kad pengenalan baharu yang ada ciri-ciri keselamatan terkini.

“Kad pengenalan yang sedia ada telah digunakan hampir 15 tahun dan mudah diceroboh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kakitangan JPN juga perlu diberikan latihan etika untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai penjawat awam dan integriti dalam perkhidmatan.

Ini boleh dilakukan melalui kursus, bengkel dan program pembangunan profesional.

Pada masa sama, sistem pengurusan yang kukuh dan prosedur ketelusan yang jelas juga perlu dikuatkuasakan dalam JPN termasuk pemeriksaan dalaman, audit dan penilaian prestasi bagi memastikan tindakan rasuah dan salah guna kuasa dapat dikesan dan diberikan tindakan segera.

Jais turut mencadangkan supaya mekanisme aduan dan perlindungan pelapor diwujudkan untuk kakitangan JPN serta orang awam melaporkan sebarang penyelewengan atau tindakan rasuah.

Jelasnya, perlindungan pelapor yang sewajarnya perlu diberikan untuk memastikan mereka yang melaporkan tidak terdedah kepada sebarang gangguan atau tindakan balas negatif.

Tegas beliau hukuman yang tegas bagi kesalahan rasuah dan salah guna kuasa juga penting bagi memastikan keadilan dan pencegahan jenayah ini.

Malah, penegakan undang-undang haruslah telus, adil dan bebas daripada campur tangan politik.

“Selain itu, penting untuk membina budaya integriti yang kukuh dalam kalangan kakitangan JPN. Ini boleh dilakukan melalui kempen komunikasi, pendidikan moral dan etika serta contoh teladan daripada pengurusan dan pemimpin JPN,” katanya.

Katanya lagi, langkah-langkah berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan serta memerlukan sokongan dan komitmen daripada semua pihak yang terbabit dalam JPN untuk memastikan pencegahan rasuah dan salah guna kuasa menjadi keutamaan utama,” katanya. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 04 at 5.35.23 PM

Tok Mat bertanding kerusi Dun Rantau kembali

Ahmad Faizal Azumu Bersatu

Bersatu dakwa UMNO dan DAP hanya berlakon untuk terima antara sama lain