in

Isaiah ikrar perjuang nasib OKU di Parlimen

e43374c35473f698dce06f7423ea2aab
Isaiah Jacob yang merupakan ahli Dewan Negara OKU.

PETALING JAYA – Isaiah Jacob satu-satunya senator yang berjaya membuatkan semua ahli Dewan Negara, termasuk Yang di-Pertua berdiri sebelah kaki selama seminit bulan lalu sebagai tanda solidariti bersamanya dan sokongan kepada golongan kurang upaya (OKU).

“Selepas itu, beberapa senator datang kepada saya dan memberitahu saya begitu berani meminta Yang di-Pertua berdiri, tetapi dia bersetuju. Jadi, dia pun minta semua orang berdiri,” kata Isaiah.

Saat itu bukan sekadar simbolik, tetapi titik permulaan untuk meningkatkan kesedaran dan mengubah tanggapan salah terhadap perkara yang boleh dilakukan OKU.

Menjadi OKU bermasalah pinggul sejak lahir tidak menghalang Isaiah terlibat dalam politik seawal zaman sekolah menengah apabila beliau kerap menemani bapa saudaranya, mendiang V David dari DAP semasa kempen pilihan raya.

“Ada banyak perkara yang tidak berada di landasan betul, jadi saya terlibat dalam demonstrasi, seperti (yang dianjurkan) Bersih, antara lain,” katanya memetik laporan FMT.

Sebagai ahli lama PKR, Isaiah turut memainkan peranan penting dalam pembentukan biro untuk OKU.

“Ramai orang datang kepada saya dan tanya mengapa kami memerlukan biro ini. Mereka kata ada banyak NGO di sekeliling, mengapa tidak melibatkan mereka saja? Tetapi bagi saya, tiba masanya OKU memasuki medan politik dan memperjuangkan hak sendiri,” katanya.

Beliau berkata, biro itu berkunjung ke tujuh negeri dan membantu beberapa keluarga yang mempunyai OKU memerlukan.

Beliau menceritakan bagaimana sebuah keluarga di Banting dengan ibu bapa warga emas dan tiga kanak-kanak kurang upaya tidak mendapat perhatian serta bantuan sehingga lawatannya pada Disember lalu.

“Anak perempuan sulung mempunyai diploma dalam pentadbiran perniagaan. Dia berkerusi roda dan dia meminta saya mendapatkan komputer riba untuk mengendalikan kelas tuisyen, jadi saya belikannya komputer riba.”

Isaiah, 57, dilantik sebagai senator pada Mac. Beliau berikrar untuk terus mendesak penubuhan jabatan kerajaan yang amat diperlukan OKU.

“Jika kerajaan tidak menyokong jabatan ini, saya akan sedaya upaya mencabar mereka,” katanya.

WhatsApp Image 2023 05 02 at 09.23.17

Harga runcit minyak masak sawit kekal

IMG 20230502 WA0005

Pelabur asing jual ekuiti tempatan sebanyak RM187.8 juta pada minggu lalu – MIDF Research