in

Vaksin Tdap percuma untuk ibu hamil

20230508 092523
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA, 29 Ogos – Semua ibu hamil di Malaysia, termasuk bukan warganegara, akan diberikan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) secara percuma, mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif baharu itu membabitkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil, setiap tahun.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis terutama dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Beliau berkata, pelaksanaan itu akan bermula selepas urusan perolehan vaksin Tdap selesai dan bekalannya tersedia di kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) seluruh negara.

“Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara,” katanya.

Dr Zaliha berkata, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan hingga dilahirkan, dan ia dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dalam kandungan.

Beliau berkata, bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit berkenaan seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian.

Dr Zaliha berkata, ia kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan optimum setelah lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan.

Sepanjang tempoh tahun ini hingga 23 Ogos lalu, beliau berkata, sebanyak 343 kes pertussis dengan 24 kematian dilaporkan di Malaysia.

Daripada 343 kes pertussis dilaporkan itu, katanya, 173 kes atau 50.4 peratus membabitkan bayi berumur bawah lima bulan.

Daripada 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 adalah dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.- nasionalkini.my

Tugas sukar Isaiah satukan OKU

Pemuda UMNO ada resepi pujuk pengundi Pulai