Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 5 Julai – Tiada istilah kerajaan mahu ‘membunuh’ ekonomi peniaga Bumiputera di Uptown Pahlawan Walk, Banda Hilir di sini yang masih dibenarkan berniaga di tapak asal sejak 13 tahun lalu sehingga selesai kajian.
Itu jaminan diberikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin susulan penularan klip video sejak semalam.
Dalam video berdurasi 2 minit 56 saat itu, seorang peniaga wanita di situ mendakwa hampir 200 peniaga Uptown Pahlawan Walk akan ‘dibunuh’ ekoran akan dipindahkan tanpa sebarang perbincangan ke tapak baharu tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Rais dalam jawapan balasnya menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang notis arah pindah seperti didakwa.
Sebaliknya, tegas beliau, ia baharu di peringkat kajian dalam usaha menjadikan Melaka bebas kenderaan pada setiap hujung minggu.
“Sebelum membuat sebarang keputusan, kita kena berbincang dengan peniaga dahulu mengenai beberapa tapak yang sesuai dan kalau mereka bersetuju baharulah kita berpindah, jadi tiada istilah ‘membunuh’ untuk ekonomi peniaga Bumiputera di situ.
“Malah saya mengesahkan setakat ini tidak ada satu pun peniaga yang diberi notis untuk berpindah bukan sahaja di Pahlawan Walk, malah di mana-mana sekali pun walaupun penganjur uptown itu sendiri bersetuju jika terpaksa berpindah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog bersama kira-kira 100 wakil peniaga sekitar Pahlawan Walk di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, lewat malam tadi.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Rais berkata beliau sendiri akan turun berjumpa dengan para peniaga berkenaan yang dijangka minggu depan untuk mendengar pandangan mereka.
“Usaha menjadikan hari Melaka bebas kenderaan pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bertujuan menjadikan Melaka sebagai bandar rendah karbon selain mengurangkan kesesakan jalan raya dan pastinya akan melibatkan beberapa peniaga terpaksa berpindah.
“Namun kita tak akan buat keputusan ini terburu-buru malah ia masih diperingkat kajian dan ada banyak lagi peringkat sebelum ianya dilaksanakan,” katanya – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN