KUANTAN, 12 September – Kumpulan nasyid Shoutul Muhibbin dari Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi Sempurna (SRITIS) dari Pahang menjuarai pertandingan peringkat Kebangsaan, hujung minggu lalu.
Pertandingan Mahrajan Amal Islami Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 itu berlangsung di Melaka Bandar raya Bersejarah.
Kumpulan nasyid SRITIS menewaskan 13 wakil negeri lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
Aisy Farhan Mohd Sufni yang juga penyampai solo nasyid kumpulan, berkata kejayaan itu adalah hasil kerja keras semua pihak.
“Segala yang diajar dan pesanan oleh para guru kami telah kami buktikan diatas pentas kebangsaan ini.
“Terima kasih buat guru kami dan tidak dilupakan sokongan hebat daripada ibubapa kami,” katanya yang turut dinobatkan sebagai Solo Terbaik Kebangsaan 2023.
Kumpulan Shoutul Muhibbin terdiri daripada lapan pelajar lelaki berusia antara sembilan hingga 12 tahun.
Mereka mendendangkan lagu hasil ciptaan sendiri.
Kejayaan kumpulan berkenaan dan SRITIS sudah pasti memberi dorongan kepada mereka untuk terus cemerlang dalam usaha menyemarakkan syiar Islam melalui medium nasyid.- nasionalkini.my