RAUB, 22 Julai – Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM140,000 melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk rumah anak yatim yang berdaftar di negeri ini.
Sumbangan itu adalah bagi meringankan beban pihak pengurusan rumah anak yatim berkenaan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sabariah Saidan berkata, semua sumbangan melalui BPP itu adalah inisiatif kerajaan negeri.
“Ini adalah antara usaha diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan menunjukkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan rakyat di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa lawatan dan penyampaian sumbangan BPP kepada Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Afzan (RUKTAA), Dong, dekat sini, hari ini.
Pada lawatan itu, RUKTAA menerima sumbangan RM10,000 daripada kerajaan Pahang.
Selain pemberian BPP kepada rumah anak yatim, kerajaan Pahang juga mengagihkan bantuan khas Aidilfitri lalu sebanyak RM200 kepada semua penghuni rumah anak yatim di negeri ini.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN