KUANTAN, 17 Julai – Kerajaan Pahang sentiasa menghargai jasa dan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di negeri ini.
Sebagai tanda penghargaan kepada NGO berkenaan, satu majlis anugerah diadakan malam tadi bagi mengiktiraf sumbangan mereka.
Penyampaian anugerah itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sabariah Saidan.
Wan Rosdy dalam ucapan pada majlis itu berkata, kerajaan negeri mengiktiraf sumbangan 180 NGO membabitkan 180,000 sukarelawan yang menjadi rakan strategik menyalurkan bantuan kepada komuniti melalui medium kebajikan.
Katanya, peranan sukarelawan kini semakin penting apabila menjadi mata dan telinga kerajaan negeri selain sebagai ejen perubahan dan pembangunan masyarakat setempat di negeri ini.
Sementara itu, Sabariah berharap anugerah itu menjadi pembakar semangat kepada semua NGO untuk terus memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di Pahang.
Katanya, sukarelawan NGO itu bukan sahaja menjadi mata dan telinga kerajaan negeri, tetapi turut bertanggungjawab mengenalpasti rakyat yang memerlukan bantuan daripada kerajaan.- nasionalkini.my