KUANTAN, 26 Julai – Kerajaan Pahang menyampaikan insentif kepada dua lagi pertubuhan anak yatim semalam.
Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah, Kampung Telok Ira, Temerloh dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Nur Iman Cawangan Mentakab, masing-masing menerima RM10,000.

Penyampaian insentif itu dilakukan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sabariah Saidan.
“Insentif diserahkan ini adalah sebahagian daripada RM140,000 disediakan kerajaan Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) tahun 2023,” kata Sabariah ketika berucap pada majlis berkenaan.
Insentif terbabit adalah antara BPP diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sabariah kemudiannya meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga di sekitar Mentakab selepas selesai majlis penyerahan insentif itu.
Rumah pertama yang beliau singgah adalah kediaman Abdul Rahim Kassim yang baharu menjalani pembedahan kaki akibat kencing manis.
Program ziarah kasih seterusnya pula, Sabariah bersama rombongan melawat kediaman Najaa Nazihah Romele yang kehilangan suami akibat kemalangan di Kampung Kelubi, dekat Mentakab, baru-baru ini.

Sabariah turut meluangkan masa mengunjungi rumah Mohamed Badrin Ab Karim yang menghidap kanser darah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu.- nasionalkini.my