Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 22 Julai – Dilahirkan dalam keluarga susah tidak menjadi penghalang buatnya mengubah nasib keluarga berbekalkan semangat ingin berjaya dalam hidup.
Itulah dibuktikan Umair Mohammad Bukhari, 21, apabila dianugerahkan Kadet Keseluruhan Terbaik 2023 pada Majlis Konvokesyen Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.
Lebih manis, anak mekanik itu bakal bergelar pegawai dek di kapal milik Eaglestar dalam masa terdekat apabila meraih keputusan cemerlang beringkat Diploma Pengajian Nautika di akedemi itu.
“Saya bukan dilahirkan daripada keluarga berada, kerana ayah Mohammad Bukhari Saud, 61, hanya bekerja sebagai mekanik manakala ibu, Fadzilah Abdul Rahman, 59 pula suri rumah sepenuh masa.
“Sebab itu, saya sedar perlu belajar bersungguh-sungguh kerana hanya melalui pendidikan dapat menjamin pekerjaan terbaik untuk mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengimbau kembali kehidupan zaman remajanya, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, sejak kecil, dia diasuh untuk berusaha bagi mendapatkan sesuatu.
“Saya sudah terbiasa dari zaman sekolah lagi macam-macam kerja sambilan termasuklah mengusahakan bendang padi milik keluarga bersama abang sebagai sumber rezeki.
“Walaupun ada mendapat tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) saya terpaksa tolak kerana ingin membantu keluarga selepas waktu sekolah harian,” katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 769 graduan menerima skrol masing-masing yang disempurnakan Pengerusi MISC Berhad, Datuk Abu Huraira Abu Yazid. – nasionalkini.my.