KUANTAN, 21 Julai – Fasiliti di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) Lipis akan ditambah baik bagi keselesaan tenaga pengajar dan anak istimewa yang ditempatkan di situ.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sabariah Saidan berkata, lawatan ke PDK itu sudah dilakukan pihaknya awal bulan ini.
“Kita akan teliti keperluan dan penambahbaikan yang akan dilakukan di situ.
“Ia adalah untuk keselesaan mereka yang berada di PDK berkenaan, sama ada anak istimewa dan tenaga pengajar yang begitu komited menjalankan tugas mereka,” katanya.
Lawatan itu turut disertai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin.
Dalam pada itu, Sabariah turut meluangkan masa merasmikan majlis undi lot skim tanah rakyat perumahan sejahtera Kemayan, pagi tadi.
Majlis itu diadakan di Dewan Cemerlang, Majlis Daerah Bera.
Dalam ucapannya, Sabariah berharap pemberian tanah lot itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima.
“Semua ini adalah hasil keprihatinan kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN