Oleh AD Zafir
KUANTAN, 12 Jun – Kira-kira 20 pemilik rumah di Taman Gambang Damai, dekat Gambang, kecewa ekoran tiada sebarang kerja-kerja pembaikan cerun dilakukan mana-mana pihak sejak kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan, 5 Januari 2021.
Sehingga kini, pemilik rumah berkenaan masih tidak boleh pulang ke kediaman masing-masing berikutan bimbang keselamatan mereka.
Rata-rata mereka turut resah menantikan kesudahan nasib mereka yang terpaksa berpindah ekoran kejadian tersebut.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Gambang Damai (Desa Hijauan), Norazen Md Dadi berkata, dalam kejadian tersebut, dua unit rumah musnah manakala empat lagi rosak teruk sementara 20 unit yang lain berisiko untuk didiami.
Menurutnya, hampir setiap hari mereka (pemilik) berharap ada pihak yang tampil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Mengulas lanjut, Norazen berkata, pihaknya sentiasa bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib dan berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Walaupun selepas 888 hari berlalu, keluhan yang disuarakan masih dipandang sepi dan tiada pihak tampil untuk duduk semeja berbincang mencari jalan penyelesaian baik pemaju, pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan negeri.
“Setakat ini, hanya enam pemilik iaitu rumah mereka yang musnah dan rosak teruk telah ditawarkan rumah Prima sebagai ganti rugi oleh pemaju selepas diarahkan kerajaan negeri, namun bagi 20 pemilik rumah yang lain dibiarkan sahaja.
“Sekiranya selamat untuk didiami kami mahukan hitam putih tetapi jika tidak kami mahu tahu apa tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norazen berkata, pihaknya sentiasa bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib dan berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik.
Jelasnya, jika mereka terus berdiam diri tindakan undang-undang akan diambil.
Dalam pada itu, seorang lagi pemilik rumah, Norul Ba’ayah Ali @ Husain, 37, berkata, dia terpaksa menanggung risiko dengan terus tinggal di situ disebabkan tiada pilihan lain.
Katanya, paling membimbangkan ketika hujan lebat dan terdapat aliran air menuruni bukit berkenaan.
“Setiap kali hujan, saya dan suami terpaksa turun ke bawah rumah untuk melihat aliran air… takut berlaku lagi runtuhan tebing.
“Ini kerana berdasarkan laporan pihak berwajib, masih berlaku pegerakan tanah di kawasan itu.
“Namun, Mac lepas, kami terpaksa membuat keputusan untuk berpindah keluar dan mengambil inisiatif sendiri berpindah ke lokasi lain,” katanya.
Sementara itu, Roslinda Ahmad Said, 39, berkata, walaupun menerima tawaran rumah Prima daripada pemaju namun masih mengharapkan ganti rugi yang setimpal.
Tambahnya, rumah Prima jauh lebih murah berbanding rumah di kawasan tersebut yang dibelinya.
“Saya masih berharap pemaju dapat memberikan ganti rugi yang lebih setimpal.
“Kini saya terpaksa menyewa di rumah lain dengan kadar sewa RM500 sebulan manakala rumah yang rosak itu tetap perlu dibayar setiap bulan sebanyak RM1,400 kepada pihak bank,” katanya. – nasionalkini.my