KUALA LUMPUR, 29 Mei — Penduduk Bandar Kinrara, Puchong menolak keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di atas tapak asal sekolah kebangsaan di bandar itu.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK), Zainol Talib yang menolak pembinaan SJKC berkenaan.
Dia berkata KPM sepatutnya kembali kepada matlamat penubuhan asalnya, iaitu mewujudkan pendidikan yang baik dan sempurna dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah di bawah Sistem Pendidikan Kebangsaan bagi menyatukan rakyat berbilang kaum.
“Sekolah untuk satu kaum dengan bantuan kewangan kerajaan bukan hanya melebarkan jurang pemisahan antara Melayu, Cina dan India, malah pelaksanaan dasar ‘divide and rule’ yang ketinggalan zaman.
“Ia halangan utama membentuk negara bangsa Malaysia selama 67 tahun selepas bangsa Cina dan India diberi kerakyatan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dia memaklumkan satu sesi libat urus antara wakil persatuan penduduk BK5B, BERTINDAK dan Kawasan Rukun Tetangga BK 4/8, 9 dan 10 Bandar Kinrara bersama wakil KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana telah diadakaan bagi mencari jalan penyelesaian.
Difahamkan, isu itu berlarutan sejak 2021 berikutan bantahan penduduk kerana sudah ada tujuh SJKC dalam radius lima kilometer dari tapak sekolah itu, sedangkan di kawasan majoriti Melayu berkenaan hanya mempunyai dua sekolah kebangsaan dengan masing-masing kapasiti pelajarnya sudah penuh. – nasionalkini.my