IPOH, 28 Jun – Tanah runtuh yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Cameron Highlands, di sini, akibat hujan lebat malam tadi, menyebabkan banyak kenderaan melalui jalan itu terkandas sehingga jam 1.34 pagi tadi.
Difahamkan, kejadian runtuhan tanah itu berlaku pada jam 11.25 malam tadi di lokasi pernah berlaku insiden sama sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kejadian malam tadi disebabkan jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat yang menyebabkan sisa tanah runtuh dan menuruni ke bahagian jalan.
Katanya, ia berikutan cerun sedia ada yang mengalami runtuhan itu sedang dalam proses pembaikan susulan insiden tanah runtuh yang pernah berlaku di kawasan itu sebelum ini.
“Cerun sedia ada sedang dalam proses pembaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH.
Bagaimanapun, Mohammad Nizar berkata, insiden itu tidak mengakibatkan kerosakan kenderaan atau pengguna jalan raya.
Katanya, runtuhan itu yang pada mulanya menyebabkan laluan itu tidak dapat dilalui kenderaan kini sudah dibuka kepada pengguna jalan raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN