Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 12 Jun – Dua beradik antara 11 individu didakwa di Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menipu mengakibatkan kerugian RM45,534.74 sejak April lalu.
Tertuduh, Muhammad Ikmal Rizal Hamdan, 22 dan adiknya, Muhamad Haiqal, 19, serta Yap Soon Lin, 23, Muhamad Faizal Abdullah, 22, Sharifah Nur Natasha Syed Mohd Hata, 21, Yap Zhen Xiang, 19, Teong Wai Keat, 19, Goh Chun Rong, 19, dan Lee Yih Hong, 18.
Turut didakwa dua juvana lelaki dan perempuan berusia 17 tahun.
Mereka berdepan tujuh pertuduhan dan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa telah bersetuju antara satu sama lain melakukan suatu perbuatan menyalahi undang-undang.
Perbuatan itu adalah dengan memperdayakan tujuh individu sehingga mangsa menyerahkan wang bernilai keseluruhan RM45,534.74 di sebuah premis di Taman Cheng Perdana di sini, antara 11 April hingga 20 Mei lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Joel Chua mewakili semua tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tidak bekerja dan masih muda.
Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM26,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – nasionalkini.my.