HULU TERENGGANU, 21 Julai – Lebih 30 keluarga di beberapa perkampungan di Ajil dan Kuala Berang masih trauma selepas kediaman mereka dilanda ribut sekali gus menyebabkan kerugian dalam jumlah yang besar.
Kejadian ribut berlaku antara pukul 5 petang semalam menyebabkan lebih 10 perkampungan di dua mukim berkenaan mengalami kerosakan teruk.
Ia menyebabkan banyak pokok tumbang lalu menghempap rumah dan kenderaan milik penduduk.
Seorang penduduk yang terkesan, Omar Safie berkata, kejadian ribut berlaku sekelip mata dan ketika itu dia sedang berbual dengan jirannya di hadapan rumahnya.
Malah dia juga mengalami kerugian dalam jumlah yang besar apabila tiga buah motosikal milik anak-anaknya turut mengalami kerosakan apabila diterbangkan angin.
Malah bumbung juga turut diterbangkan angin menyebabkan rumahnya dimasuki air.
“Mulanya awan bertukar gelap sebelum muncul angin kencang berpusar hingga menyebabkan tiga buah motosikal diletakkan di hadapan rumah saya berganjak sejauh beberapa meter.
“Saya bergegas mahu menyelamatkan motosikal sebelum tiba-tiba tiga ahli keluarga yang berada di rumah menjerit ketakutan apabila satu persatu atap rumah diterbangkan ribut,” kata warga emas yang berusia 60 tahun ini.
Omar mengakui dia turut panik dalam kejadian yang tidak pernah dilalui sebelum ini namun sempat bertindak melaungkan azan.
Keadaan ribut juga turut mengakibatkan bekalan elektrik berdepan masalah selepas kabel elektrik terputus akibat dihempap pokok tumbang. – nasionalkini.my