KUANTAN, 20 Jun – Seorang pemuzik jalanan kini memerlukan bantuan apabila semua peralatan muzik miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Wong Ah Jang, dekat sini.
Kejadian Selasa lalu itu mengakibatkan Manad Manaf tinggal sehelai sepinggang apabila dia tak sempat mengambil barangan dalam bilik sewanya.
Manad yang mengharapkan peralatan muzik seperti keyboard dan gitar untuk mencari rezeki, kini buntu untuk kembali aktif menghiburkan orang ramai.
Menurut aktivitis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, keyboard digunakan Manap adalah sumbangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Ia adalah peralatan muzik yang mempunyai nilai sentimental tersendiri kepada Manad… apatah lagi ia adalah sumbangan Datuk Seri Wan Rosdy.

“Saya kenal lama dengan saudara Manad dan berharap dia tabah menghadapi ujian getir itu,” katanya.
Sementara itu, Manad berharap ada pihak sudi untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu dia bangkit semula dan meneruskan minat dalam bidang muzik.
“Ketika kejadian saya berada di luar kerana ada urusan lain, jadi apabila tahu mengenai kebakaran di situ, memang saya tak sempat nak selamatkan apa-apa benda,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Manad di talian 017-939 6926. – nasionalkini.my