KUALA LUMPUR, 1 April – Kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan khas Aidilfitri RM1,000 kepada mereka.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya Ke Pahang di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
“Saya akan beritahu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan perkara itu dan sudah pasti sebelum hari raya (bantuan diterima),” katanya.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan Pahang juga bersetuju menubuhkan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan RM5 juta yang merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat dalam golongan B40 untuk mendapatkan bantuan kecemasan diperlukan, bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Bercakap mengenai majlis penyerahan baucar berkenaan, beliau berkata sebanyak 5,000 baucar diberikan kepada penerima terawal memohon membabitkan jumlah RM250 ribu.
“Jumlah keseluruhan data pemohon untuk bantuan berkenaan sehingga 24 Mac lalu adalah seramai 22,000 pemohon.
“Program itu bersesuaian tujuan penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang iaitu menjaga kebajikan dan pembangunan rakyat Pahang yang berada di luar negeri Pahang,” katanya.– nasionalkini.my