in

Mengumpat, mencaci  bukan sahaja jatuh maruah tapi undang sengketa: Sultan Selangor

sultan selangor
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

KUALA LUMPUR,21 Julai – Umat Islam diseru supaya tidak terjerumus dalam perbuatan mengumpat dan mencaci yang dilihat semakin ketara menjelang pilihan raya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, perbuatan itu bukan saja menjatuhkan maruah diri, tetapi boleh mengundang kepada sengketa serta permusuhan berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah perbuatan mengumpat, mencela, mencaci, memaki hamun apatah lagi memfitnah amat berbahaya dan tergolong dalam dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.

WhatsApp Image 2023 07 21 at 7.19.57 PM
Sultan Selangor berpesan berhubung isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)

“Menerusi pemerhatian baginda, fitnah dan mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut serta malu kepada Allah setiap kali menjelang pilihan raya, seolah-olah musim menjelang pilihan raya adalah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi daripada rakyat,” titah baginda.

Pada 19 Jun lalu ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baginda pernah berpesan berhubung isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen.

“Baginda menegaskan perkara ini supaya perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di negara ini tidak terjejas, selain bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal,” kata kenyataan itu.

baginda pasa masa sama turut menegaskan Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan umatnya untuk sentiasa berbaik dan bertoleransi dengan orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ia akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.

“Raja dan Sultan pula berperanan sebagai ketua agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah Allah serta tidak menyuruh melakukan maksiat,” katanya. – nasionalkini.my

Pahang Sasar 12 Lagi PBS Dalam Tempoh 2 Tahun

PDK Lipis ditambah baik