JOHOR BAHRU, 3 Julai – Kerajaan negeri Johor menghulurkan bantuan wang tunai dan pakaian sekolah kepada pelajar yang terjejas dalam insiden kebakaran blok asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan di Segamat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata bantuan wang tunai RM100 dan dua pasang baju sekolah diberikan kepada 30 pelajar.
Bantuan itu diberikan selepas peralatan serta barangan peribadi mereka rosak dan musnah dalam kejadian itu.
Bagaimanapun beliau berkata kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan semua penghuni asrama yang terjejas kini ditempatkan sementara di surau Blok B.
“Pihak sekolah sudah menghubungi ibu bapa dan penjaga pelajar yang terlibat serta membenarkan mereka pulang.
“Justeru, bagi meringankan sedikit beban ditanggung pelajar, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersetuju memberikan bantuan tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan malam ini.
Norlizah, yang melawat sekolah itu semalam, berkata Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor sedang menganggarkan kerosakan bagi tujuan penyelenggaraan.
Terdahulu, Komander Operasi Bomba Segamat, Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.58 pagi dan kebakaran itu memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan dua tingkat berkenaan. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN