JERANTUT, 21 Jun – Seorang wanita warga emas yang lumpuh seluruh badan berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian kebakaran rumah di kampung Tanah Rom, petang tadi.
Tindakan pantas dua cucu perempuan yang nekad mengusung nenek mereka, Bedah Itam, 84, yang ketika itu berada di dalam bilik ke kawasan selamat.
Menurut Nurul Shahida Razahar ketika kejadian, dia bersama kakak, ibu ayah serta anak saudaranya sedang berehat di ruang tamu sebelum terhidu bau asap dari bilik tengah.
“Apabila menjengah ke bilik tersebut, kami begitu terkejut apabila terdapat percikan api yang merebak dengan pantas.
“Saya dan kakak segera menyelamatkan nenek manakala ayah, Razahar Basir, 59, dan emak Jafidzah Ja’afar, bertindak menyelamat diri dengan membawa dua anak saudara” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun Nurul Shahida berkata dia sekeluarga bersyukur kerana tidak melibatkan kecederaan dan nyawa walaupun nenek masih trauma dengan kejadian tidak disangka itu.
Katanya kejadian berlaku sekelip mata sehingga menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan dokumen penting seperti surat beranak, geran tanah dan lain-lain seperti pakaian, perabot,
Malah, kerosakan rumah terbabit dianggarkan lebih 70 peratus membabitkan ruang tengah, dapur dengan anggaran kerugian kira-kira RM50,000.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Mohd. Arif Raja Samsudin berkata, kebakaran tersebut melibatkan rumah jenis kekal berukuran 20 kaki x 40 kaki.
“Pasukan bomba dengan kekuatan 14 anggota membuat operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan mendapat bantuan air dari jentera water tanker,” katanya. – nasionalkini.my