KUALA LUMPUR, 2 Julai – Identiti sembilan daripada 10 mangsa yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa merupakan sepasang suami isteri bersama tujuh anaknya, berasal Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang.
“Selepas pengecaman mayat dilakukan oleh waris, mayat pertama yang ditemukan ialah Azizah Eiyi yang berusia 40 tahun manakala mayat kedua merupakan anaknya iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, berusia 11 tahun,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Buat masa ini pihak polis berusaha untuk mengesan seorang lagi identiti lelaki.
Bagaimanapun, Hanyan menjelaskan operasi pencarian terpaksa dihentikan sementara dan disambung esok pagi berikutan cuaca buruk ekoran hujan lebat dan membahayakan pasukan penyelamat.
Terdahulu, dua mangsa ditemukan meninggal dunia manakala lapan lagi dikhuatiri dihanyutkan kepala air ketika berkelah di jeram tersebut petang semalam.
Mayat Azizah ditemukan di tebing Kampung Pasir Gajah kira-kira pukul 12.45 tengah hari iaitu 24 kilometer dari lokasi mereka berkelah.
Manakala mayat anak lelakinya yang berusia 11 tahun, ditemui kira-kira pukul 5 petang tiga kilometer dari lokasi kejadian. – nasionalkini.my