Oleh AD Zafir
KUANTAN, 22 Jun – Ibu kepada dua beradik yang terlibat dalam kemalangan maut dekat simpang FELDA Lepar Hilir, dekat sini, berharap kes itu dapat diselesaikan segera.
Dua anaknya, Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Nur Alia Saffiyah, 18, maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki yang terbabas ke laluan bertentangan di Jalan Kuantan – Segamat, Selasa lalu.
Noor Zaimah Yunus, 53, berkata, dia ada mengikuti perkembangan pendakwaan berkaitan kes anaknya itu menerusi laporan berita.
“Saya harap kes ini dipermudahkan dan pelaku (pemandu lori tangki) boleh mengaku.
“Dengan itu, biar cepat kes ini selesai dan tak perlu nak tunggu lama-lama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media, di kediamannya di FELDA Lepar Hilir, di sini, selepas menerima kunjungan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Turut hadir, Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman dan Pegawai Dietetik Majlis Sukan Negara, Muhammad Khalis Jasmiad.
Dalam pada itu, suami kepada Siti Mazurah, Khairul Auzuddin Jasni, 30, ketika ditemui berkata, dia sedih kerana tidak sempat berjumpa dengan isterinya sebaik pulang daripada tempat kerja.
Katanya, tambah terkilan kerana ketika kejadian dia sudah berada di Kuantan, malahan sebelum kejadian itu isterinya tidak menunjukkan sebarang kelainan.
“Saya bekerja di luar kawasan iaitu di Johor selama seminggu, dan pada hari kejadian saya sudah balik ke Kuantan namun belum sempat menemui isteri.
“Sebaik dimaklumkan ahli keluarga mengenai kejadian yang menimpa isteri, saya bergegas ke lokasi kejadian dan melihat isteri sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Hisham berkata, pihaknya bertindak segera dalam memproses faedah PERKESO untuk diserahkan kepada waris dua beradik berkenaan.
Jelasnya, bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 telah dibuat kepada waris mereka iaitu ibu dan suami.
“Waris juga akan menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan setiap bulan untuk tempoh seumur hidup.
“Sementara bagi kes Nur Alia, semakan mendapati dia baru bekerja selama lima hari namun dia layak untuk menerima faedah PERKESO kerana majikannya ada mencarum,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN