in

Penganggur tumbuk, hempas bapa dipenjara 8 bulan

IMG 20230622 WA0017
Tertuduh Muhammad Fahmi Ramli, 29, dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah menumbuk kepala dan menghempas badan bapa kandungnya minggu lalu

Oleh Yusuf Shafie

AYER KEROH, 22 Jun – Seorang lelaki dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk kepala dan menghempas badan bapa sendiri minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Fahmi Ramli, 29, membuat pengakuan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas ayah kandungnya, Ramli Samad, 62, dengan menumbuk di kepala dan menghempas badannya ke tanah berbatu pada pukul 7.06 petang 13 Jun lalu,

Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama itu dilakukan di No 2154-2 Jalan Bunga Raya 4, KM4, Kampung Semabok, daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara lapan bulan dari tarikh sabitan hari ini.

Pada prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu menumbuk bapanya di alamat sama pada pukul 11.05 malam 15 Mei 2022.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ayah kandungnya, Ramli Samad, 62, dengan menumbuk di kepala dan menghempas badannya ke tanah berbatu pada pukul 7.06 petang 13 Jun lalu – Nasionalkini/Yusuf Shafie

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah telah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membaling objek seperti batu, kayu dan besi terhadap mangsa sama di alamat dan masa sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 352 kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga bulan penjara atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Fiqri Hakim dalam hujahannya menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan kes. – nasionalkini.my

IMG 20230622 123309 scaled

Peranan penting PKMM Pahang bantu rancak industri perumahan

Ibu harap kes kemalangan maut dua anaknya selesai segera