Oleh AD Zafir
KUANTAN, 14 Jun – Dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Kuantan-Segamat, dekat persimpangan lampu isyarat FELDA Lepar Hilir, di sini, lewat malam tadi
Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, pemandu kereta, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli,18, dan kakaknya, Siti Mazurah Zulkifli, 30, dari FELDA Lepar Hilir 1, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori tangki, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, dari Perkampungan Sungai Isap 1, dekat Kuantan, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori tangki membawa muatan bahan api petroleum itu dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke sebuah stesen minyak di pekan Gambang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori tangki itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Proton Wira dinaiki dua beradik itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi proses bedah siasat,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori itu ditahan bagi membantu siasatan, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas pengaruh dadah,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN