in

37 menu penyeri majlis Aidilfitri PAID Jengka

Gambar ihsan PAID Jengka

MARAN, 8 Mei – Sebanyak 37 juadah disajikan kepada pengunjung di majlis silaturahim dan jamuan hari raya Aidilfitri membabitkan badan masjid dari 37 rancangan FELDA Wilayah Jengka.

Majlis diadakan di perkarangan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka, pada Isnin lalu.

Pengerusi Badan Gabungan Masjid Wilayah Jengka Razak Daud berkata, program anjuran bersama PAID Jengka, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Badan Masjid dan Kami Anak FELDA dihadiri lebih 5,000 pengunjung, termasuk saudara baharu.

Gambar ihsan PAID Jengka

Menurutnya, setiap rancangan dan badan mengadakan bergotong royong bagi menyiapkan juadah.

“Kesepakatan ditunjukkan oleh kepimpinan kampung dan rancangan FELDA membukti golongan peneroka FELDA sebagai komuniti contoh kepada masyarakat Malaysia.

“Setiap rancangan menonjolkan menu utama sebagai identiti tanah rancangan seperti lemang, sate, kambing bakar, apam balik, mee kari dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Utusan.

Razak menyifatkan majlis itu seumpama mewakili masyarakat Malaysia dari negeri berlainan.

Sementara itu Kadi Daerah Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, majlis berkenaan berjaya mengukuhkan ikatan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

“Majlis ini menjadi medan perpaduan kepada para peneroka dan badan gabungan supaya dapat berkumpul dalam satu wadah bagi menikmati rezeki disediakan,” katanya.

Nik Ibrahim menambah, kehadiran pelbagai golongan rakyat termasuk para saudara baharu di jamuan itu juga dapat melahirkan masyarakat harmoni dan saling menghormati. — nasionalkini.my

Speedy Tigers belasah Kanada

Kotak Madani mula diagihkan