in

Rumah generasi kedua FELDA masih bermasalah

Jasri (kiri) ketika meninjau antara projek Rumah Generasi Kedua FELDA yang terbengkalai di FELDA Jengka 1, dekat Maran, pada awal bulan Oktober lalu

KUANTAN, 6 Disember – Masih banyak projek pembangunan semula atau pemulihan bagi pembinaan Rumah Generasi Kedua FELDA berdepan masalah di Pahang.

Walaupun kebanyakan projek ini ‘dijenamakan semula’ dengan nama Rumah Pahang, terdapat beberapa isu timbul dari segi pelaksanaan projek terbabit.

Perkara itu disuarakan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin ketika sesi perbahasan di sidang DUN Pahang, semalam.

“Di kawasan saya, terdapat satu projek yang terbengkalai sejak PRU13 (sekitar tahun 2013) dan kemudiannya diambil alih Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang pada tahun 2021.

“Kerja pemulihan semula dimulakan (awal) tahun ini, namun ia kembali terbengkalai sejak pertengahan tahun ini juga.

“Isu (projek terbengkalai) bukan hanya di kawasan saya, tapi saya dimaklumkan terdapat 10 lagi projek seumpama itu turut berdepan masalah sama,” katanya.

Antara projek yang dikatakan ‘terbengkalai’ adalah di kawasan FELDA Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.

Jasri yang juga Ketua BERSATU Maran memaklumkan, secara keseluruhannya sebanyak 1,850 rumah generasi kedua FELDA dalam status ‘terbengkalai’ di 10 kawasan terbabit.

“Kalau setiap unit dijual pada harga RM120,000 – bermakna projek pembangunan ini membabitkan kos sehingga RM222 juta.

“Ini jumlah yang sangat besar dan semestinya memberi kesan kepada generasi kedua atau ketiga FELDA yang sudah menunggu lama untuk memiliki kediaman sendiri.

“Paling menarik perhatian saya adalah semua projek ini diberikan kepada satu syarikat pemaju saja… apakah pemaju yang mendapat projek sebesar ini mempunyai kemampuan dari segi kewangan?,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan jika satu kajian risiko sudah dilakukan kerajaan Pahang atau pihak berkaitan sebelum menyerahkan 10 projek terbabit kepada satu syarikat pemaju untuk dilaksanakan.

Katanya, selain dari segi kemampuan kewangan, adakah syarikat itu juga layak untuk memperoleh kemudahan pinjaman dari institusi kewangan bagi memulihkan semua projek diberikan kepada mereka.

“Kelewatan projek ini siap sudah tentu menimbulkan masalah kepada generasi kedua dan ketiga FELDA yang belum memiliki rumah sendiri, jadi saya harap kerajaan negeri dan pihak berkaitan dapat memastikan semua projek itu disiapkan mengikut perancangan ditetapkan,” tegasnya.— nasionalkini.my

Pengundi Kemaman buat pilihan tepat

Pihak berkuasa perlu ambik tindakan terhadap Victor Yong