KUANTAN, 18 Disember – Masalah limpahan air setiap kali hujan lebat di laluan menghubungkan kampung Bukit Gajah dan FELDA Ulu Jempol, dekat Maran, perlu diberi perhatian pihak berkenaan.
Ini kerana kejadian itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna laluan berkenaan, terutamanya waktu malam.
Laluan terbabit dikatakan agak landai dan boleh mengakibatkan air bertakung hingga mengganggu pergerakan penduduk yang berulang alik menggunakan jalan itu untuk urusan harian.
Difahamkan, masalah berkaitan sudah disuarakan penduduk sejak sekian lama, namun setakat ini masih belum ada usaha untuk menaiktaraf laluan berkenaan.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mohd Rosli mendakwa, laluan itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat berpanjangan berlaku di situ.
“Jalan itu memang selalu banjir, selepas kawasan hutan Bukit Gajah menghala ke FELDA Ulu Jempol.
“Cadangan kami sebagai pengguna laluan terbabit adalah pihak berkenaan mendalamkan atau melebarkan parit di sepanjang laluan itu.
“Atau mungkin boleh juga ditukarkan sistem pembentungan lebih besar dan efisien bagi mengelakkan limpahan air hingga mengakibatkan banjir kilat setiap kali musim tengkujuh,” katanya.— nasionalkini.my