in

Sri Pahang belasah Kelantan United

Gambar oleh BH

KOTA BHARU, 28 Ogos – Sri Pahang menepati ramalan apabila mudah membenam Kelantan United 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad kembali merakam kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Kedah, 8 Ogos lalu.

Pelawat tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila percubaan pemain pertahanan, Azrif Nasrulhaq gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Ilham Amirullah pada minit kesembilan, lapor BH.

Penyerang kebangsaan, Sergio Aguero kemudian mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua dan ketiga apabila menyudahkan hantaran Kpah Sherman pada minit ke-22 dan 26.

Sebelum tamat babak pertama, tuan rumah berjaya menggegar gawang Sri Pahang menerusi tandukan Syazwan Zainon tetapi jaringan tersebut dibatalkan pengadil.

Selepas membantu Aguero meledak dua gol, Kpah Sherman tidak mahu ketinggalan mencatat nama sebagai penjaring apabila meledak gol keempat pada minit ke-67.

Usaha Kelantan United menembusi gawang pelawat akhirnya berhasil menerusi gerakan solo pemain gantian, Royizzat Daud pada minit ke-77 sebelum David Rowley melengkapkan kemenangan pelawat dengan gol kelima pada masa kecederaan.- nasionalkini.my

Guna kerusi roda bantu pelajar teroka dunia

Kelab Wanita Anggun IM aktif aktiviti kemasyarakatan