Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 22 Jun – Rundingan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kini di peringkat akhir dan hanya beberapa kerusi belum selesai.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO akan berusaha memastikan parti itu kekal bertanding di kerusi-kerusi tradisinya.
“Saya tidak ada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi UMNO nanti kerana tidak terlibat dalam soal pengagihan kerusi. Soal berapa kerusi itu biarlah pucuk pimpinan yang tentukan.
“Kita akan berusaha untuk kekal bertanding di mana-mana kerusi yang pernah jadi kerusi tradisi kita,” katanya mengulas berkenaan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.
Mengenai isu pertindihan sembilan kerusi antara BN dan PH di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, Mohamed Khaled memberitahu, ia akan diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Ahad lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sembilan kerusi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan dimuktamadkan di peringkat presiden parti dalam masa terdekat.
Menurut Asyraf, perundingan pembahagian kerusi itu berjalan lancar dan harmoni, sekali gus menepis persepsi negatif terhadap kerajaan Perpaduan.Rundingan kerusi BN-PH di enam PRN dalam fasa akhir, hampir selesai. – nasionalkini.my