Adam Aariz
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pegawai polis dikenali “Inspektor Sheila” yang didakwa menghina anggota pangkat rendah dan mengherdik orang awam yang tular sebelum di media sosial telah digantung tugas.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dua kertas siasatan berkait salah laku juga sudah diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis juga telah membuka enam siasatan berasingan terhadap perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu menyaksikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyerahkan tugas kepada Timbalannya, Tan Sri Razarudin Husain manakala jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pula kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam satu video, wanita berpangkat inspektor itu dilihat bertengkar dan memperlekehkan anggota polis berpangkat rendah manakala satu lagi video, dia didakwa bertengkar dengan individu di sebuah kawasan parkir di Brickfields, Kuala Lumpur. – nasionalkini.my