in

BN masih terkial-kial pulih sokongan orang Melayu

KUANTAN, 24 Ogos – Barisan Nasional (BN) masih terkial-kial untuk memulihkan sokongan orang Melayu dan orang muda terhadap UMNO, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Katanya, formulasi gabungan BN-Pakatan Harapan (PH) telah ‘mencabut keyakinan’ dan sokongan rakyat yang kelihatan begitu yakin dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah Malaysia.

Msnurutnya lagi, pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri menyaksikan BN bertanding sebanyak 108 kerusi dan hanya menang 19 kerusi sahaja.

“BN-UMNO semakin sayup dari pandangan pengundi Melayu dan orang muda,

“Setakat ini BN kelihatan masih terkial-kial untuk pulihkan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO.

“Formulasi gabungan BN-PH telah mencabut keyakinan dan sokongan rakyat yang kelihatan begitu yakin dengan gabungan PN untuk memerintah Malaysia,” katanya.

Rosli yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Tanjung Lumpur membuat kenyataan itu melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Katanya lagi, situasi di Pahang, BN banyak kehilangan kerusi dari ledakan orang muda yang menyokong PN.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) November tahun lepas, PN memperoleh 17 kerusi, BN 17 kerusi dan PH mendapat lapan kerusi di dewan undangan negeri (DUN) Pahang.

“PN – 17 kerusi, BN – 17 kerusi dan PH – 8 kerusi di Pahang.

“BN kehilangan banyak kerusi kesan dari ledakan undi orang muda yang menyokong PN.

“PRN di enam negeri pula menyaksikan BN bertanding sebanyak 108 kerusi dan hanya menang 19 kerusi.

“Kali ini BN berhadapan pula dengan kemarahan orang Melayu kerana BN bergabung dengan DAP-PH,” katanya lagi.

Tambah Rosli lagi, pilihan raya kecil (PRK) Kulai, Simpang Jeram dan Pelangai yang bakal berlansung dalam masa terdekat adalah medan terbaik untuk BN melihat sejauh mana keberkesanan gabungan PH-BN.

Jarak masa yang singkat antara PRN enam negeri dan PRK Kulai, Simpang Jeram dan Pelangai, tidak mungkin sempat untuk BN-UMNO pulihkan kembali sokongan orang muda dan pengundi Melayu seperti dahulu, ujarnya.- nasionalkini.my

Le Lodge Mansion tawar pengalaman berbeza

Hari mengundi PRK Pelangai 7 Oktober