BENTONG, 10 Oktober – Strategi pembangkang membawa jentera dari negeri tertentu untuk membantu kempen pilihan raya kecil (PRK) Pelangai dipercayai punca Barisan Nasional (BN) gagal menguasai undi di kawasan FELDA.
Aktivis bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, jentera berkenaan bukan sahaja menyebarkan berita kurang tepat mengenai suasana politik semasa di Pahang, tetapi turut menanamkan rasa curiga dalam kalangan peneroka.
“Dua daripada tiga FELDA dalam kawasan Pelangai dikuasai mereka (pembangkang) dan ini dibantu jentera dari negeri tertentu.
“Memang setiap parti mempunyai strategi tersendiri, namun cara menghasut dan mencipta naratif yang kurang tepat dilakukan pihak tertentu mengakibatkan pengundi keliru.
“Ini yang berlaku di Pelangai dan kita dapat lihat kesannya apabila BN tewas di FELDA Kemasul dan FELDA Kemahal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
BN bagaimanapun mengekalkan penguasaan di FELDA Chemomoi dan kampung tradisional.
Mohd Shukri yang juga dikenali dengan gelaran ‘Cucu Mat Kilau’ bagaimanapun tidak menyalahkan peneroka tanah rancangan itu sepenuhnya.
Katanya, kalau bukan disebabkan kempen tidak berhemah dijalankan pihak tertentu, sudah pasti warga peneroka akan memberi sokongan kepada calon ditampilkan Kerajaan Perpaduan.
Dalam PRK Pelangai yang berakhir Sabtu lalu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.- nasionalkini.my