KUALA LUMPUR, 23 Mac – Barisan Nasional (BN) menghormati kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang dimiliki oleh rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan akan menyokong calon dipilih Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut laporan Bernama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat untuk menterjemah rasa hormat kepada jalinan kerjasama yang dibina dalam Kerajaan Perpaduan, selain sebagai isyarat bagi memperkukuh kedudukan kerajaan.
“Walaupun jumlah pengundi Melayu di Kuala Kubu Baharu telah meningkat kira-kira 50 peratus, demi menghormati Kerajaan MADANI, UMNO dan komponen BN harus menghormati kerusi itu dipunyai rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jentera UMNO bukan sahaja seluruh Selangor tetapi saya yakin jentera BN terutama MCA akan bersama membantu calon berkenaan biarpun tarikh (pilihan raya kecil) belum ditentukan,” kata Presiden UMNO itu dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia, semalam.
Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin tertinggi UMNO serta parti komponen BN.
Semalam, Ahli DUN Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong meninggal dunia pada usia 58 tahun akibat penyakit kanser.
Kee Hiong berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak 2013 dan semasa Pilihan Raya Negeri Selangor pada Ogos tahun lepas, dia menewaskan calon Perikatan Nasional, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.— nasionalkini.my