SHAH ALAM, 21 Ogos – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti senarai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbincangan sudah diadakan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berhubung perkara itu.
“Kita sudah meneliti bukan sahaja keputusan dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu tetapi kita berasakan pembangunan DUN Pelangai harus ada kesinambungan dan diteruskan.
“Soal siapa yang akan mewakili BN dan UMNO itu, kita akan perincikan apabila UMNO Bahagian Bentong mengemukakan nama kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk keputusan yang akan kita buat nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Kerusi DUN Pelangai berhadapan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, Khamis lalu.
Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini bagi membincangkan tarikh penting pelaksanaan PRK DUN Pelangai.- nasionalkini.my